Kenali Jajahan Pasir Puteh


Jajahan Pasir Puteh telah wujud pada tahun 1905 lagi iaitu di zaman pemerintahan British. Jajahan Pasir Puteh merupakan jajahan yang kelima luasnya daripada jajahan-jajahan lain dalam Negeri Kelantan. Kedudukan Jajahan Pasir Puteh ini adalah bersempadan dengan Jajahan Kota Bharu di sebelah Utara, Jajahan Machang di sebelah Barat, Jajahan Bachok di sebelah Timur Laut dan sebelah Selatannya bersempadanan dengan daerah Besut, Terengganu. Manakala di sebelah Timurnya, jajahan ini terdedah kepada Laut Cina Selatan. Jajahan Pasir puteh juga merupakan salah satu daripada laluan masuk utama bagi kenderaan-kenderaan yang datang dari luar negeri Kelantan untuk ke jajahan-jajahan lain yang terdapat di negeri ini.

Bentuk muka bumi jajahan Pasir Puteh yang berkeluasan 433.8 km2 boleh dibahagikan kepada dua keadaan yang besar, iaitu keadaan tanah yang berbukit-bukit dan tanah rendah. Kawasan yang berbukit-bukit terletak bersempadan dangan Daerah Machang dan terdapat beberapa buah bukit seperti Bukit Mak Lipah, Bukit Jerus, Bukit Bayah, Bukit Belakang Parang dan Bukit Batu Kawi. Di antara antara bukit-bukit ini, Bukit Mak Lipah adalah merupakan bukit yang Paling tinggi iaitu 868 kaki yang letaknya berhampiran dengan sempadan daerah Bachok di sebelah Utara. Bagi kawasan-kawasan lain, ia adalah merupakan tanah rendah dan terdapat banyak anak-anak sungai yang merupakan cawangan daripada Sungai Semerak yang mana ia merupakan sungai utama di jajahan ini.

Pasir Puteh terkenal dengan sejarah perjuangan Hj Hassan bin Panglima Mat Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut menentang pihak British yang cuba mengembangkan pengaruhnya di daerah Jeram. sebuah tugu peringatan telah dibina dan dinamakan 'Tugu Tok Janggut' yang terletak di tepi sungai Semerak, Bandar Pasir Puteh.

Pasir Puteh merupakan sebuah bandar yang wujud di antara dua buah sungai iaitu Sungai Rasau dan Sungai Semerak, yang mana pada masa dahulu sumber pengangkutan utama bagi penduduk ialah sungai dan kawasan lembah sungai akan muncul sebagai lokasi tumpuan penduduk bagi memudahkan perhubungan.

Pasir Puteh juga sinonim dengan pantai yang bersih yang terletak bertentangan dengan Laut China Selatan, iaitu Pantai Bisikan Bayu, Semerak dan Pantai Tok Bali, Tok Bali. Kini Tok Bali di ambang pembangunan dengan keterlibatannya secara langsung dengan perancangan Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER), di mana Tok Bali bakal dibangunkan sebagai sebuah bandar baru yang berteraskan kepada ekonomi perikanan dan pelancongan serta penempatan pusat pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan dengan industri marin, keselamatan, kesihatan dan juga institusi pendidikan.

Di dalam jajahan Pasir Puteh, terdapat 8 daerah dan 73 buah mukim Penghulu. Berikut adalah senarai daerah di dalam jajahan Pasir Puteh :

  1. Daerah Bukit Jawa
  2. Daerah Bukit Abal
  3. Daerah Padang Pak Amat
  4. Daerah Limbogan
  5. Daerah Jeram
  6. Daerah Gong Datok
  7. Daerah Bukit Awang
  8. Daerah Semerak

Antara tempat-tempat menarik di dalam jajahan Pasir Puteh adalah :

  1. Pasir Puteh Sentral
  2. Pantai Bisikan Bayu (Pantai Dalam Rhu)
  3. Jeram Pasu
  4. Taman Eko Rimba Jeram Linang
  5. Jeram Linang
  6. Jeram Mengaji
  7. Pasar Siti Hajar

Post a Comment

0 Comments