Kenali Jajahan Kuala Krai


Kuala Krai merupakan jajahan kedua terbesar di Kelantan selepas Gua Musang dengan keluasan 2,287.10 kilometer persegi. Terdapat tiga daerah utama dalam jajahan ini iaitu Batu Mengkebang, Olak Jeram dan Dabong. Jumlah mukim di Kuala Krai ialah 35.

Kebanyakan penduduk di jajahan Kuala Krai mengusahakan tanaman getah. Jajahan ini bersempadan dengan Gua Musang di selatan, Jeli di barat, Tanah Merah di barat laut, negeri Terengganu di timur dan Machang di utara.

Pusat Pentadbiran Jajahan pada mulanya terletak di Kg. Mengkebang, Jalan Batu Lada dan kemudian berpindah berhampiran Tangga Krai (Tangga Bradley) pada tahun 1927. Sebelum tahun 1977, Kuala Krai dikenali sebagai Ulu Kelantan dan merangkumi Gua Musang, Kuala Krai dan daerah Kuala Balah di selatan Jeli. Bandar Kuala Krai ketika itu bertindak sebagai ibu jajahan Ulu Kelantan. Kuala Krai ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir jajahan ini iaitu Majlis Daerah Kuala Krai bagi kawasan utara jajahan (dulu dikenali sebagai Majlis Daerah Kuala Krai Utara) dan Majlis Daerah Dabong bagi kawasan selatan jajahan (dulu dikenali sebagai Majlis Daerah Kuala Krai Selatan). Kini Pusat Pentadbiran Jajahan telah berpindah ke bangunan baru berpusat di kawasan Guchil pada 22 April 1985.

Kuala Krai berkembang pesat setelah dibuka lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang pada Ogos 1983 yang merupakan laluan jalan raya ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. Dua sungai utama iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir bertemu di Sungai Kelantan di bandar Kuala Krai. Terdapat stesen keretapi yang menghubungkan Tumpat ke Gua Musang.

Antara tempat rekreasi dan tempat menarik di Jajahan Kuala Krai adalah :
  • Air Terjun Lata Rek
  • Taman Tasik Krai
  • Taman Chintawangsa
  • Taman Burung
  • Kampung Lemang Manik Urai ( Berderetan gerai-gerai lemang di tepi jalan)
  • Air Terjun Lata Berangin
  • Air Terjun Jelawang
  • Gua Ikan
  • Gunung Stong
  • Jambatan Sultan Ismail
  • Pusat Kraftangan
  • Galeri Kuala Krai
  • Tangga Krai
  • Lata Chenulang
  • Sungai Kenerong

Post a Comment

0 Comments